Konsep Perpaduan dan Intergrasi Di Malaysia


 

 

APAKAH ITU PERPADUAN ?

 

Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang ataupun sains kemasyarakatan.

Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.
'MALAYSIA memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini akan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan negara.
Keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan dan juga daya tarikan kepada pelabur asing untuk melabur di negara kita.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing.
Tambahan pula, konsep 1Malaysia yang berasaskan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” juga menerangkan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci atau senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.Secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing. Persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah agar kita dapat meluahkan perasaan hati tanpa menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.
Di kebanyakkan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama telah membawa peperangan yang berlarutan sekaligus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan.
 

INTERGRASI DI MALAYSIA

Integrasi Kaum memainkan peranan yang sangat besar dan penting untuk memajukan sesebuah negara. Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan integrasi itu sendiri? Menurut Mohd Syariefudin Abdullah (2014), Integrasi ditakrifkan sebagai proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang diterima oleh semua kelompok etnik dalam negara. Integrasi itu wujud dalam sesuatu masyarakat apabila ahlinya menerima ciri ahli yang lain tanpa merujuk asal-usul dan ras mereka.  Integrasi terbahagi kepada dua bentuk iaitu integrasi sosial dan integrasi nasional. Integrasi Sosial adalah ilmu yang digunakan dalam ilmu sosiologi. Ia merupakan proses untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan identiti masing-masing. Menurut Mohd Syariefudin Abdullah (2014) lagi seperti yang dinyatakan oleh Ahmad Haji Kambar (1987), integrasi ialah proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Merujuk pada Jawatankuasa Integrasi Nasional (Jun 1991), integrasi nasional didefinisikan sebagai proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri dalam Malaysia, khususnya antara negeri di Semenanjung dengan negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik atau masyarakat majmuk. Ia telah pun wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat di sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa dan etnik. Integrasi dan perpaduan kaum adalah sangat penting untuk mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara akan bertambah maju dan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Dalam konteks Malaysia, kita boleh perhatikan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik yang ada di Malaysia. Maka, lahirlah konsep yang diguna pakai oleh para sarjana untuk memahami tahap integrasi dalam masyarakat yang bermula dengan segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan akhir sekali amalgamasi. Untuk membentuk satu bangsa Melayu bukanlah mudah. Banyak cabaran yang terpaksa ditempuh walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan. Ini kerana, masalah perkauman akan tetap menjadi satu isu yang serius dan sangat besar sekiranya perhatian dan tindakan yang sewajarnya tidak di ambil. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil dan dibuat oleh kerajaan dan juga setiap lapisan masyarakat untuk memupuk dan menyemai sikap masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia agar perpaduan terus subur dan mekar mewangi di dalam setiap kehidupan masyarakat sekali gus dapat mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali. Di perenggan yang berikutnya, akan dibincangkan bentuk-bentuk aktiviti atau program serta impak yang dapat memupuk integrasi kaum dalam masyarakat.

Comments

Popular posts from this blog

Masyarakat Majmuk Di Malaysia